Kesan-kesan Buruk Yang Timbul Menerusi Kewujudan Iklan

Source: http://88karangan.com/karangan-8/

Pengiklanan merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan sesuatu produk kepada masyarakat umum dengan meluas. Penggunaan iklan dalam bidang perniagaan sudah lama diamalkan cuma sejak akhir-akhir ini penggunaan iklan semakin ketara dan dominan terutama di bandar-bandar besar negara maju. Aksi model dan teknik pengiklanan yang menarik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kerana ada kalanya iklan mampu untuk menghuraikan corak kehidupan masyarakat sesebuah negara itu. Cuma, kita masih tidak menyedari bahawa iklan turut membawa banyak impak negatif yang berupaya untuk memusnahkan norma-norma budaya yang dipegang sejak turun temurun itu.

Salah satu perdebatan yang hebat tentang peri pentingnya iklan berkait dengan penggunaan model di dalam iklan yang kebanyakannya wanita. Ramai yang sudah melihat dan mengakui bahawa model-model wanita ini biasanya akan diperagakan dalam bentuk yang begitu seksi untuk menarik perhatian masyarakat melihat iklan sesuatu produk tersebut. Persoalan ini menjadi lebih hebat kerana produk yang menggunakan model wanita itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan wanita atau produk itu hanya digunakan oleh kaum adam sahaja. Jadi, timbul persoalan sama ada iklan menjadi tempat untuk menayangkan tubuh-tubuh seksi wanita sahaja atau produk?

Selain itu, iklan turut dikritik hebat kerana iklan dikatakan memberikan bayangan kehidupan yang palsu kepada masyarakat terutama golongan muda. Kehidupan yang tidak benar ini sering dikaitkan dengan kehidupan yang mengutamakan sesuatu jenama atau kecantikan merupakan perkara yang penting dalam penilaian diri seseorang manusia itu. Bayangan kehidupan yang palsu ini telah tertanam dalam benak remaja yang kemudiannya terus mempercayai sehingga mereka keliru tentang kehidupan yakni mementingkan sesuatu yang berunsur luaran atau sementara sahaja. Sesungguhnya, iklan memberikan bayangan kehidupan yang mengelirukan terutama kepada golongan muda sehingga mereka lupa tanggungjawab yang sebenarnya.

Bukan sahaja pengguna tertipu dengan bayangan kehidupan yang palsu ini tetapi pengguna juga akan membeli produk yang tidak mereka perlukan kerana pengaruh iklan begitu kuat sehingga mampu membuatkan pengguna membeli barangan yang tidak mereka perlukan juga. Iklan yang ditayangkan berterusan menyebabkan wujudnya satu pandangan bahawa barang yang diiklankan itu memang penting buat pengguna berdasarkan iklan yang ditayangkan. Pengguna seolah-olah dipukau oleh kehebatan iklan yang bijak menggunakan aspek psikologi manusia untuk memanipulasikan mereka. Jelaslah, iklan menyebabkan pengguna membeli pelbagai produk yang tidak mereka perlukan atau ringkasnya berlaku pembaziran.

Kos untuk membuat iklan bukanlah murah dan kebanyakan kos ini akan dipikul oleh pengguna tanpa mereka sedari kerana sudah pasti syarikat iklan dan pengeluar produk tersebut tidak mahu kerugian atau keuntungan mereka menurun akibat kos iklan yang tinggi. Harga produk yang mahal atau tidak setimpal dengan kualiti menjadikan pengguna tiada pilihan kerana semua barang memang diiklankan. Kos yang ditambah akibat iklan menjadikan pengguna membayar sesuatu yang tidak ada kaitan dengan mereka kerana kos itu sudah dimasukkan dalam harga barangan. Maka, iklan menjadikan harga produk begtiu mahal dan membebankan sumber kewangan pengguna.

Kesimpulannya, semua iklan harus dikawal dengan mengenakan syarat-syarat yang ketat supaya hak pengguna terpelihara terutama pengguna yang masih muda. Ibu bapa perlu memberi nasihat kepada anak mereka tentang pengaruh iklan yang boleh mengelirukan seseorang itu. Dalam masa yang sama persatuan pengguna harus meningkatkan kempen tentang impak iklan supaya berlakunya keseimbangan antara iklan produk dan kempen kesedaran. Paling penting setiap individu dalam negara ini memahami keperluan dirinya yang sebenar dan tidak terikut-ikut dengan budaya iklan yang terlalu mementingkan kebendaan sahaja.

2 thoughts on “Kesan-kesan Buruk Yang Timbul Menerusi Kewujudan Iklan

  1. cikgu, bagaimana kita nak mengembang isi tersebut supaya menjadi ayat yg panjang tapi mempunyai huraian yang berkaitan dengan isi/tajuk yang dibuat? saya sering menghadapi masalah huraian terkeluar daripada isi/tajuk?

    Like

    • Saudari boleh cuba guna kaedah 5W1H, dan memberi huraian yang tepat bersama dengan contoh. Setiap pererenggan isi juga mesti ada penutup ya (natijahnya.. izharnya… jelasnya.. dll) 😃

      Like

Leave a comment