Teks Pidato Bahasa Jiwa Bangsa (Lisan)

Andai patah sayap rajawali,
bertongkat jua saya ke mari.
Bukan kerana ingin bermimpi,
tetapi untuk membawa anda semua menyelami mauduk pidato yang berbunyi Bahasa Jiwa Bangsa.

Salam sejahtera dan salam Satu Malaysia. Semarak kasih, sekalung budi Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi berkarisma, penjaga masa setia pada saat dan ketikanya, dif-dif kehormat, seterusnya para hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan.

Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya. Menurut Kamus Dewan, bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi suara. Jiwa pula merupakan roh atau nyawa. Seterusnya, bangsa dapat didefinisikan sebagai jenis manusia daripada satu asal keturunan.

Yang kurik itu kundi,
yang merah itu saga.
Yang baik itu budi,
yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dan pergaulan terutamanya dalam aspek pertuturan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas Bahasa Kebangsaan, kerana “Bahasa Jiwa Bangsa”. Hal ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, bahasa itulah yang membentuk jiwa kita sekaligus memercikkan jati diri kebangsaan.

Persoalannya kini, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa? Perlu dinyatakan di sini, hanya bahasa kebangsaan yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jati diri kebangsaan.

“Tidak melayu hilang di dunia.” Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah ini mungkin hanya tinggal retorik semata-mata sekiranya bangsa Melayu tidak menjaga keunggulan ataupun integriti bangsa dan bahasanya.

Hadirin yang dimuliakan,

Pidato saya pada hari ini akan mengupas dua komponen utama yakni peranan Bahasa Kebangsaan ke arah memartabatkan negara di mata dunia. Komponen pertama, bahasa kebangsaan bahasa perpaduan. Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menjadi Bahasa Lingua Franca bagi negara-negara di kepulauan Melayu.

Kini, dasar Bahasa Kebangsaan telah mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang digunakan dalam setiap urusan. Selain itu, dasar pendidikan kita juga menetapkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara utama. Dengan adanya dasar-dasar ini, kita bukan sahaja dapat memastikan Bahasa Kebangsaan termaktub dalam perlembagaan, tetapi dapat dihayati dan diamalkan secara meluas oleh masyarakat.

Warga pendengar yang budiman,

Pidato ini tiada selingan iklan, lantaran itu, izinkan saya membawa hadirin sekalian kepada komponen pidato saya yang kedua iaitu bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

Bahasa berperanan sebagai bahasa sosial, bahasa ekonomi dan bahasa pentadbiran. Bahasa Kebangsaan boleh dianggap sebagai wadah terpenting untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia.

Bahasa Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan bahasa ibunda. Sekiranya ini dilakukan secara bersama, maka gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita YAB Dato. Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan.

Hadirin yang dimuliakan,

Dalam meredah arus globalisasi kini, media massa berperanan penting dalam mengembangkan Bahasa Melayu agar identiti kita sebagai warga Malaysia dikenali oleh masyarakat di seantero dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mengamalkan Bahasa Melayu dalam apa jua perkara agar kita dapat menaikkan taraf Bahasa Kebangsaan kita seiring dengan bahasa-bahasa lain di dunia.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya menamatkan bicara saya, izinkan saya menghadiahkan serangkap pantun:

Sedap makan kacang kelisa,
buah peria pahit dan maung.
Bahasa menggabungkan etnik bangsa,
Satu Malaysia sama bernaung.

Justeru, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan budi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. Bahasa Kebangsaan harus didaulatkan. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.

Secara konklusinya, Bahasa Jiwa Bangsa jelas menunjukkan bahawa Bahasa Melayu itu menjadi nadi penggerak yang amat penting untuk menzahirkan identiti diri kita. Bahasa ibunda sewajarnya dipraktikkan, agar tidak akan pupus ditelan zaman. Akhir sekali, bahasa itulah yang menunjukkan bangsa.

Sekian, terima kasih. Salam perpaduan dan salam 1 Malaysia.