Peranan-peranan Persatuan Pengguna

Source: http://88karangan.com/karangan-26/

Kehidupan masyarakat zaman ini dikatakan penuh dengan isu kepenggunaan kerana penekanan terhadap aspek kebendaan begitu ketara. Kewujudan pelbagai persatuan pengguna telah membuktikan lagi bahawa isu kepenggunaan merupakan kemelut yang menguasai kehidupan zaman ini. Paparan kemelut kepenggunaan menerusi media massa turut menjadi satu lagi bukti betapa pentingnya peranan persatuan penggunan pada masa ini. Jadi, sudah pasti persatuan pengguna mempunyai banyak peranan yang harus dimainkan secara efektif demi kebaikan semua pengguna.

Peranan yang paling penting harus dilakukan oleh persatuan pengguna ialah mereka perlu memberi kefahaman yang sebenar kepada pengguna tentang hak pengguna. Persatuan pengguna perlu melakukan pelbagai kempen, menerbitkan buku, risalah dan sebarang bentuk usaha untuk memastikan semua pengguna sedar akan hak mereka sebagai pengguna. Jika masih ada pengguna yang tidak memahami hak mereka selagi itulah persatuan ini harus menjalankan semua aktiviti yang berkaitan supaya kefahaman ini menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat tersebut. Maka, persatuan penggunan berperanan untuk mendidik masyarakat akan peri pentingnya memahami hak mereka.

Malah, persatuan pengguna juga menjadi tempat terakhir buat pengguna untuk mengadu atau meluahkan masalah mereka. Pelbagai kerenah ahli perniagaan sudah pasti dialami oleh pengguna yang boleh menjadikan persatuan pengguna sebagai satu ruang buat mereka membuat laporan terutama tentang amalan yang tidak beretika itu. Persatuan boleh mengambil dan membuat laporan berdasarkan semua rungutan pengguna kepada pihak berkuasa dengan lebih sistematik lagi. Jelaslah, pengguna boleh meluahkan sebarang masalah kepada persatuan pengguna dengan mudah dan berkesan.

Lantaran itu, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan atau penipuan yang dilakukan oleh peniaga kepada masyarakat umum menerusi laporan pengguna. Tindakan persatuan pengguna ini mampu membuatkan ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum mereka berhasrat untuk mengambil kesempatan akan kenaifan pengguna terutama mereka yang mudah ditipu. Pendedahan persatuan penggunan ini juga boleh membawa pihak-pihak bersalah ke muka pengadilan lalu pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya akan hak mereka ketika berbelanja. Maka, persatuan pengguna berperanan untuk mendedahkan semua dakyah penjual yang tidak beretika dan mengaut keuntungan dengan cara yang tidak ikhlas.

Peranan terakhir persatuan pengguna ialah mereka menjadi pemerhati antara pengguna dan peniaga. Konsep pemerhati di sini bermakna persatuan akan melakukan pemeriksaan dan memberi nasihat kepada pengguna dan peniaga supaya tidak berlaku sebarang masalah pada masa hadapan. Pengguna akan menyedari bahawa mereka terus dilindungi oleh persatuan lalu mampu untuk membuat pembelian dengan perasaan lebih terjamin. Manakala penjual pula menyedari bahawa persatuan mampu melakukan sesuatu yang menjejaskan kredibiliti perniagaan mereka lalu berusaha untuk berniaga dengan cara yang lebih beretika tetapi tetap mengaut keuntungan. Oleh itu, persatuan pengguna berupaya memastikan semua urusan perniagaan berjalan dengan lancar tanpa wujudnya unsur-unsur mengambil kesempatan.

Kesimpulannya, peranan persatuan pengguna amat besar terutama dalam usaha melindungi hak pengguna. Peranan ini harus dilaksanakan dengan lebih jitu dan menyeluruh terutama ketika kegawatan ekonomi melanda negara kerana ketika inilah pelbagai penipuan perniagaan boleh berlaku. Masyarakat pula perlulah memahami dan sedar akan pentingnya mereka berbelanja dengan cermat terutama ketika keadaan ekonomi tidak begitu baik ini. Persatuan pengguna harus terus wujud di negara ini jika kita mahu hak pengguna terus terpelihara.

Kebaikan-kebaikan Memiliki Kesedaran Sivik

Source: http://88karangan.com/karangan-25/

Manusia yang sejati harus memiliki kesedaran sivik yang ditakrifkan sebagai kefahaman tentang pentingnya melakukan perkara-perkara yang sinonim dengan peraturan kehidupan manusia. Individu yang tidak memiliki kesedaran sivik sering dikaitkan dengan individu yang bermasalah dan tidak mahu melakukan sesuatu mengikut keperluan masyarakat keseluruhannya. Golongan remaja sering dikritik kerana mereka dikatakan antara golongan yang paling rendah kesedaran siviknya walaupun anggapan ini tidak benar sekali. Maka, ada banyak kebaikan yang timbul jika seseorang itu memiliki kesedaran sivik yang tinggi.

Pemilikan kesedaran sivik dalam jiwa seseorang menjadikan diri orang itu lebih dihormati dan dikagumi oleh masyarakat umumnya. Individu sebegini akan dianggap sebagai manusia yang menerima didikan yang sempurna dan mampu membantu menjadikan kehidupan manusia lain juga menjadi lebih sempurna. Semua tindakan yang dilaksanakan oleh individu yang memiliki kesedaran sivik sering dikaitkan dengan tindakan yang positif dan berupaya membantu masyarakat secara keseluruhannya. Oleh itu, kesedaran sivik berupaya memberikan imej peribadi yang positif kepada seseorang itu dengan mudah.

Kemampuan kesedaran sivik untuk melakukan sesesuatu mengikut peraturan kehidupan bermasyarakat berupaya mengelakkan seseorang itu daripada melakukan sebarang tindakan yang tidak sihat seperti terbabit dengan dadah dan melepak. Individu yang memiliki kesedaran sivik akan mempunyai pelindungan peribadi daripada melakukan perkara yang tidak baik kerana kesedaran sivik sering memberikan satu peringatan kepada seseorang manusia itu. Semakin ramai individu yang memiliki kesedaran sebegini maka semakin kuranglah masalah sosial yang melanda negara kerana semua insan mampu untuk berfikir secara matang dan bijak. Jelaslah, kesedaran sivik menghalang penularan gejala negatif daripada berlaku dengan begitu meluas.

Dalam masa yang sama, kesedaran sivik menimbulkan perasaan kasih dan sayang akan manusia lain turut berkembang sihat. Sikap menyayangi individu lain bermakna seseorang itu sanggup melakukan sesuatu tindakan untuk membantu orang lain yang ditimpa masalah tanpa sebarang keraguan lagi. Perasaan positif sebeginilah yang berupaya menghapuskan gejala kemiskinan dan kedaifan yang melanda masyarakat kita terutama di kawasan luar bandar. Sesungguhnya, individu yang ada kesedaran sivik memiliki rasa kasih akan orang lain yang begitu mendalam lalu sudi menghulurkan bantuan dengan mudah.

Selain itu, kesedaran sivik berupaya menjadikan masyarakat negara ini sebuah masyarakat contoh kepada masyarakat global lainnya. Sikap kesedaran sivik yang mendalam dalam diri ahli masyarakat kita yang dijelmakan dengan kurangnya masalah sosial, jenayah dan sebagainya meninggikan imej negara dan penduduknya. Masyarakat luar akan mula cuba meniru pelaksanaan konsep kesedaran sivik di negara ini untuk diamalkan di negara mereka pula dengan jayanya. Jadi, kesedaran sivik yang ketara mampu memberikan persepsi positif masyarakat luar terhadap kehidupan masyarakat negara kita.

Kesimpulannya, kesedaran sivik harus dimiliki oleh semua pihak tanpa mengira umur dan sikap menuding jari ke arah kekurangan sikap sebegini dalam diri remaja harus diubah. Jika kita mahu semua pihak memiliki kesedaran ini, satu proses perubahan diri yang positif harus berlaku dalam diri kita sendiri. Sikap menyalahkan orang lain bukanlah satu kaedah yang positif untuk memupuk kesedaran sivik dalam diri setiap insan. Masyarakat yang memiliki kesedaran sivik yang tinggilah bukti masyarakat yang maju.

Cara-cara Memupuk Semangat Kebangsaan Dalam Jiwa Remaja

Source: http://88karangan.com/karangan-24/

Media massa sering mengeluarkan berita yang mengaitkan bahawa remaja zaman kini sudah kehilangan semangat kebangsaan yang sejati. Kejadian gejala sosial yang sering dikaitkan dengan remaja menguatkan lagi hujah ini bahawa remaja memang tiada semangat kebangsaan yang tinggi. Masyarakat pula seolah-olah percaya akan hujah ini lalu menjadikan masalah ini begitu kronik dan remaja berasa terpinggir. Maka, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk memupuk semula semangat ini di dalam jiwa remaja kita.

Langkah awal yang sudah jelas ialah subjek Sejarah diberi penekanan yang ketara oleh pihak kerajaan terutama di sekolah menengah. Subjek sejarah harus dirombak kurikulumnya dengan memberi perhatian khusus terhadap aspek pemupukan semangat kebangsaan yang mendalam dalam jiwa remaja terutama pelajar itu. Tindakan ini boleh dikuatkan dengan menjadikan subjek ini sebagai subjek utama yang memerlukan semua pelajar mengambil dan lulus dengan baik ketika peperiksaan umum negara diadakan. Jelaslah, semangat kebangsaan remaja akan bertambah kerana mereka terpaksa menelaah pelajaran sejarah dengan teliti.

Begitu juga dengan usaha menonjolkan pejuang-pejuang negara ketika Hari Kebangsaan disambut terutama ketika acara perbarisan yang begitu terkenal itu. Ketika acara perbarisan itu diadakan mungkin pihak kerajaan boleh membuat pengumuman akan jasa pejuang-pejuang negara ini atau mungkin setiap tahun mengemukakan seorang tokoh pejuang negara yang akan menjadi simbol penting ketika acara sambutan dijalankan secara meriah itu. Pengenalan sebegini mampu memberikan maklumat ringkas kepada remaja akan tokoh-tokoh pejuang negara lalu menimbulkan semangat kebangsaan yang mendalam terutama setelah remaja mengetahui akan pengorbanan yang dilakukan oleh tokoh itu demi negara. Oleh itu, penonjolan tokoh-tokoh pejuang negara ini mampu memberi kesan positif kepada kemunculan semangat kebangsaan dalam jiwa remaja kita.

Selain itu, pihak berkuasa boleh menjadikan nama-nama jalan, bangunan, kawasan taman dan sebagainya mengikut nama pejuang negara yang tertentu. Pemilihan nama pejuang ini perlulah sesuai dengan keadaan jalan, bangunan dan kawasan taman itu supaya nama yang diberi mampu memberi impak kepada remaja apabila mereka melalui, memasuki atau berada di tempat itu. Pada masa yang sama, sejarah ringkas akan pejuang negara itu boleh dipaparkan untuk rujukan remaja yang sudah pasti ingin tahu sebab nama pejuang negara itu diberi penghormatan yang sebegitu tinggi. Jelaslah, kaedah ini mampu menjadikan remaja memahami erti perjuangan mengutamakan negara dalam kehidupan mereka.

Pemuliharaan bangunan bersejarah, tempat dan sebagainya harus menjadi agenda sampingan untuk memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan remaja ini. Jika semua bangunan dan tempat bersejarah di negara ini dipelihara dan dijaga dengan baik sudah pasti remaja akan mampu menghayati peninggalan sejarah negara yang begitu penting ini. Bayangkan remaja harus memiliki semangat kebangsaan tetapi mereka tidak mampu melihat atau menghayati sesuatu peninggalan sejarah yang berkaitan dengan semangat kebangsaan itu? Maka, tindakan menjaga bangunan bersejarah berupaya menjadikan remaja kita sedar akan kepentingan memiliki semangat kebangsaan ini.

Semua kejayaan negara baik dalam bidang ekonomi, sains, sukan dan sebagainya harus dipamerkan untuk renungan remaja. Usaha memaparkan kejayaan negara ini bukanlah bertujuan untuk membanggakan diri atau sebagainya tetapi berperanan untuk memberitahu remaja bahawa negara ini memang sebuah negara yang baik dan bagus untuk didiami. Kejayaan yang diperoleh negara ini turut memberikan semangat baru kepada remaja untuk mendapatkan kejayaan yang serupa atau mungkin lebih baik lagi pada masa hadapan buat negara ini. Sesungguhnya, remaja akan semakin bersemangat apabila mengetahui bahawa negara ini sebuah negara yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Konklusinya, kemelut ketiadaan semangat kebangsaan yang mendalam dalam diri remaja bukanlah satu masalah yang besar kerana menerusi sedikit usaha semangat ini akan muncul semula. Pihak kerajaan harus bersedia untuk mengeluarkan sedikit peruntukan kewangan bagi mewujudkan semangat ini semula. Masyarakat terutama ibu bapa turut berperanan mendidik anak mereka dengan menceritakan akan kegemilangan negara pada masa lampau. Mungkin dengan kerjasama semua masalah ketiadaan semangat kebangsaan ini akan hilang dalam sedikit masa lagi.

Keburukan-keburukan Mengutamakan Pertanian Moden

Source: http://88karangan.com/karangan-23/

Sektor pertanian mula diberi perhatian oleh kerajaan kita terutama ekoran kegawatan ekonomi yang menyaksikan sektor perindustrian negara mengalami masalah untuk mengeksport produk ke luar negara. Sudah banyak program dilakukan oleh kerajaan untuk memberikan suntikan baru kepada sektor yang sudah lama dipinggirkan ini untuk hidup semula. Dalam keghairahan kerajaan menghidupkan semua sektor pertanian ini, ada pihak yang beranggapan bahawa penekanan terhadap sektor ini mampu membawa impak yang negatif kepada negara untuk jangka masa panjang. Jadi, apakah kesan-kesan jangka panjang tersebut?

Kalau kita lihat secara umum pertanian moden lebih menekankan aspek teknologi yang menyaksikan penggunaan sumber manusia begitu kecil berbanding pertanian cara lama. Keadaan ini menyebabkan ramai pekerja sektor pertanian ini akan kehilangan kerja mereka terutama golongan muda kerana digantikan dengan jentera-jentera yang lebih moden dan produktif berbanding manusia. Penggunaan jentera yang maksima juga membayangkan pelaburan kewangan yang tinggi untuk sesuatu projek pertanian itu yang menjadikan prospek untuk mencapai keuntungan dalam jangka masa pendek begitu gelap.Jadi, pertanian moden boleh menyebabkan pengangguran yang tinggi dan juga pelaburan kewangan yang terlalu tinggi untuk petani-petani kita.

Impak negatif yang kedua ialah penggunaan bahan kimia yang begitu keterlaluan sehingga mampu menjejaskan kesihatan manusia keseluruhannya. Sudah pasti pertanian moden menggunakan baja dan racun perosak dalam kuantiti yang begitu tinggi untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mampu untuk dieksport. Penggunaan bahan kimia yang tidak dikawal ini menyebabkan berlakunya pencemaran alam terutama terhadap sistem saliran yang melibatkan sungai-sungai dan kawasan tadahan air mengalami keracunan kimia toksik yang tinggi lalu membawa berlakunya masalah kesihatan yang kronik kepada kehidupan manusia. Maka, semakin banyak pertanian moden dibuka semakin tinggilah peluang untuk berlakunya penuruhan tahap kesihatan manusia di sesuatu kawasan tersebut dalam jangka masa yang tertentu.

Pertanian moden juga menggalakkan pembukaan tanah yang luas dan begitu intensif penggunaannya. Teknik yang sedemikian menyebabkan banyak kawasan baru terutama hutan terpaksa dibuka dan digunakan dengan begitu meluas sehingga menjejaskan kemampuan tanah untuk menyuburkan diri secara semulajadi.Aktiviti pembukaan tanah yang begitu meluas ini membawa banyak kawasan hutan negara ditebang dan dimusnahkan dalam sekelip mata bersama-sama dengan keadaan tanah yang mudah menjadi gersang kerana digunakan dengan begitu intensif. Sebenarnya, pertanian moden memusnahkan produktiviti tanah kerana teknik penanaman yang begitu intensif dan meluas itu.

Bukan sahaja pencemaran alam berlaku dan peluang kerja terjejas tetapi pertanian moden turut menjadikan negara akan bergantung kepada negara lain untuk produk berasaskan perindustrian. Negara kita memang menghasilkan produk makanan tetapi disebabkan ketiadaan industri perindustrian maka banyak bahan mentah makanan ini dieksport ke negara lain yang mengilangnya dan kemudian menjualnya semula kepada negara kita dengan harga yang lebih tinggi kerana mereka berjaya menjadikan bahan mentah itu dalam bentuk yang lain. Bayangkan negara terpaksa membeli sesuatu produk yang bahan mentahnya dihasilkan di Malaysia tetapi dikilang di negara lain. Oleh itu, pertanian moden menjadikan negara kita terlalu bergantung kepada negara lain untuk hidup di dalam dunia era globalisasi ini.

Kesimpulannya, semua pihak tanpa mengira sesiapa harus melihat usaha memajukan sektor pertanian moden ini dengan lebih teliti. Semua kajian perlulah dilakukan sebelum kerajaan membuat keputusan untuk memberi perhatian khusus kepada pertanian sahaja. Kegagalan untuk melihat sesuatu masalah itu secara holistik menyebabkan kita sering melakukan kesilapan dalam merangka sesuatu dasar yang sesuai dengan keperluan zaman. Mungkinkah konsep sederhana harus digunakan dalam hal ini yakni kedua-dua sektor iaitu pertanian dan perindustrian hidup sebelah menyebelah?

Pengaruh-pengaruh Televisyen

Source: http://88karangan.com/karangan-22/

Sememangnya televisyen sudah menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam kehidupan manusia terutama pelajar. Kalau dihitung, hampir setiap isi rumah di negara ini pasti memiliki televisyen dan kemungkinan ada yang memiliki lebih daripada satu sudah menjadi kebiasaan pula. Buat pelajar, kemunculan teknologi televisyen banyak membawa impak yang membuatkan kehidupan pelajar tercabar terutama ketika menghadapi masa peperiksaan. Jadi, antara pengaruh yang muncul itu terbahagi kepada dua yakni baik dan buruk.

Pengaruh baik yang muncul ialah televisyen mampu menjadi saluran maklumat buat pelajar terutama program berunsur rencana dan berita. Penyaluran maklumat yang berterusan menjadikan pelajar yang sering menonton televisyen dapat mengetahui semua peristiwa yang berlaku di dunia ini dalam sekelip mata. Begitu juga dengan program berunsur pendidikan yang memaparkan kehidupan haiwan dan tumbuhan-tumbuhan serta masyarakat dunia lain turut mewarnai pandangan hidup pelajar. Maka, televisyen menjadikan pelajar di negara ini lebih berinformasi jika mereka menonton teknologi itu dengan kerap.

Dalam masa yang sama pelajar juga boleh menggunakan televisyen sebagai alat pendidikan kerana ada saluran televisyen yang khas untuk pendidikan. Dalam saluran ini semua mata pelajaran yang diajar di sekolah turut dipamerkan tetapi dalam bentuk visual yang lebih menarik untuk tatapan pelajar. Suasana pembelajaran yang berbeza ini sudah pasti memudahkan pelajar untuk memahami sesuatu perkara tersebut terutama subjek yang agak susah seperti Matematik dan Sains. Sesungguhnya, teknologi televisyen telah merevolusikan sistem pendidikan negara dan dunia dalam masa yang singkat sahaja.Namun televisyen turut membawa pengaruh buruk terutama apabila pelajar melihat budaya asing yang kurang sesuai diamalkan di negara ini. Sikap pelakon barat yang keterlaluan terutama adegan panas dan suka mengeluarkan bahasa lucah serta melawan ibu bapa mampu mempengaruhi pelajar kita agar berkelakuan sedemikian pula. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menjadikan pelajar kita melihat budaya itu sebagai sebahagian daripada budaya tempatan lalu terus diamalkan kerana terlalu kerapa menonton televisyen. Jelaslah, televisyen menyebarkan budaya yang kurang sesuai dalam kalangan pelajar untuk tempoh yang tertentu.

Malah, pelajar yang menonton televisyen terlalu lama boleh menyebabkan prestasi pelajaran mereka di sekolah terjejas dengan begitu ketara. Masa yang panjang menonton televisyen menyukarkan pelajar untuk memberi tumpuan kepada pelajaran terutama untuk membuat kerja sekolah yang telah diberikan oleh guru sebelum ini. Lama-kelamaan pelajar sudah lupa tanggungjawab mereka untuk belajar kerana terlalu asyik menonton program-program televisyen yang menarik sahaja. Oleh itu, televisyen menjadikan pelajar kita alpa akan peranan mereka untuk belajar sehingga menjejaskan keputusan peperiksaan mereka.

Bukan itu sahaja, sudah ada kajian yang membuktikan bahawa pelajar yang menonton televisyen terlalu lama boleh menjejaskan kesihatan mereka. Keadaan ini berlaku kerana pelajar masih muda dan proses pembesaran masih berlaku yang terjejas akibat amalan menonton televisyen. Masalah kesihatan seperti berat badan yang bertambah, masalah mata, pendengaran terjejas dan sebagainya menjadikan diri pelajar tidak mampu untuk bersaing dalam alam kerjaya kelak. Maka, televisyen mampu membawa impak negatif kepada aspek kesihatan pelajar kita.

Kesimpulannya, masa menonton televisyen harus dikawal terutama oleh pihak ibu bapa. Pelajar pula harus menyedari bahawa mereka lebih harus memberikan perhatian terhadap pelajaran dahulu ketika ini. Kerajaan pula hendaklah mengawasi semua program yang disiarkan menerusi televisyen kita agar program yang tidak sesuai tidak ditayangkan untuk tontonan umum. Semua pihak mempunyai peranan dalam menangani masalah yang ditimbulkan oleh televisyen.

Cabaran-cabaran Yang Dihadapi Oleh Kanak-kanak

Source: http://88karangan.com/karangan-21/

Kanak-kanak merupakan anugerah Tuhan kepada masyarakat yang harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab tetapi sayangnya kanak-kanak masih menerima pelbagai masalah. Keadaan ini menyebabkan kehidupan kanak-kanak sering diancam dengan cabaran-cabaran yang menyukarkan mereka untuk mengalami kehidupan yang sempurna atau baik. Media massa turut memaparkan keadaan kanak-kanak baik di dalam negara mahupun di luar negara yang terjejas dengan teruk akibat kegagalan golongan dewasa merealisasikan amanah Tuhan kepada mereka itu. Oleh itu, kanak-kanak memang mengalami banyak cabaran hidup dalam era globalisasi ini.

Cabaran pertama yang dihadapi oleh kanak-kanak ialah hak mereka untuk menerima pendidikan yang sebaik mungkin telah diabaikan. Masih ada ibu bapa atau penjaga yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah atau sengaja membenarkan kanak-kanak bekerja walaupun umur mereka seharusnya dihabiskan di kelas belajar bukannya mencari nafkah. Kegagalan untuk menerima pendidikan yang baik menyebabkan masih ada kanak-kanak yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira dengan baik lalu menjejaskan peluang mereka untuk mendapat kerja yang lebih baik. Maka, kanak-kanak harus menerima pendidikan yang baik menjadi cabaran yang perlu diatasi segera.

Kanak-kanak juga sering dikaitkan dengan keganasan jenayah terutama yang berunsur seksual dan penderaan. Kekurangan perlindungan khas buat kanak-kanak yang terbabit dalam kejadian jenayah memberikan masa depan yang gelap buat mereka terutama jika jenayah itu meninggalkan impak psikologi yang mendalam. Pihak berkuasa terutama polis harus lebih peka akan keperluan khas kanak-kanak kerana mereka merupakan mangsa yang masih belum memahami akibat jenayah yang berlaku itu. Jelaslah, cabaran jenayah terhadap kanak-kanak akan menjadi satu cabaran yang paling sukar untuk ditangani dalam era moden ini.

Selain cabaran pendidikan dan jenayah, kanak-kanak juga mengalami cabaran untuk memiliki keluarga yang bahagia. Kejadian penceraian dan pergaduhan serta keganasan rumah tangga menyaksikan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua kanak-kanak itu hanya tinggal impian sahaja kerana golongan dewasa hanya mementingkan diri mereka. Kanak-kanak sering dianggap tidak mempunyai sebarang kuasa atau dibiarkan sahaja dalam menentukan kedudukan ayah dan ibu yang sedang mengalami masalah peribadi itu. Sesungguhnya, keluarga yang bahagia merupakan satu cabaran yang harus menjadi titik tolak kehidupan kanak-kanak yang harmoni.

Selain itu, kanak-kanak turut mengalami cabaran untuk hidup ceria sebagai kanak-kanak. Kalau kita kaji kehidupan zaman moden menyaksikan kanak-kanak umpama robot yang hanya mengikut sahaja arahan golongan dewasa terutama ibu bapa mereka. Tekanan peperiksaan sekolah yang begitu mendesak, impian ayah ibu yang mahu anaknya mahir dalam bidang muzik atau sukan dan sebagainya menyebabkan hidup kanak-kanak begitu terseksa. Jiwa kanak-kanak yang tidak tenteram sejak kecil boleh menjejaskan keperibadian mereka ketika mereka memasuki alam dewasa yang menyaksikan kitaran ganas ini berulang kepada generasi yang berikutnya. Oleh itu, kehidupan kanak-kanak yang ceria harus diberikan kerana itu merupakan hak kanak-kanak yang memerlukan keseronokan dan kegembiraan dalam hidup mereka.

Natijahnya, semua cabaran yang dinyatakan di atas itu hanya sebahagian kecil daripada masalah yang melanda kanak-kanak di dunia ini. Kehidupan kanak-kanak memang penuh dengan cabaran yang boleh menentukan kehidupan mereka pada masa hadapan tetapi tidak ramai yang memahaminya. Golongan dewasa terutama ibu bapa masih menganggap kanak-kanak tidak berhak menentukan masa depan mereka tetapi mereka silap kerana kanak-kanak sedar dan tahu perkara yang mereka inginkan. Kanak-kanak harus diberi hak untuk menjalani kehidupan yang mereka idamkan.

Langkah-langkah Untuk Memudahkan Kehidupan Warga Tua

Source: http://88karangan.com/karangan-20/

Warga tua sering dikaitkan dengan mereka yang berumur lebih daripada 55 tahun yang juga dikenali sebagai warga emas. Populasi warga ini semakin hari semakin bertambah di negara ini terutama di kawasan bandar. Pertambahan jumlah penduduk warga tua ini menyebabkan negara memerlukan satu perancangan baru untuk menjadikan kehidupan warga ini lebih baik dan ceria setelah penat bekerja memajukan negara. Maka, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan, swasta dan masyarakat untuk menceriakan kehidupan warga emas ini.

Kerajaan boleh mengumumkan bahawa semua warga tua boleh menikmati pelbagai kelebihan yang boleh meringankan beban kewangan mereka seperti pemberian diskaun tambang pengangkutan awam, kos hospital dan juga pembelian barangan yang sering diperlukan oleh mereka. Langkah kerajaan ini sudah pasti akan meringankan beban kewangan mereka terutama kos rawatan yang begitu mahal dan risiko mereka yang juga tinggi kerana sudah berusia lanjut. Pengumuman dasar ini sudah pasti akan menjadikan warga tua lebih ceria kerana sedar bahawa negara terus menghargai mereka walaupun mereka sudah tidak lagi bekerja. Jelaslah, kerajaan harus mengumumkan satu dasar yang boleh menjadikan kehidupan warga emas lebih ceria.

Selain mengumumkan hari warga tua, kerajaan juga boleh menganjurkan pelbagai aktiviti yang melibatkan mereka. Penganjuran lawatan ke tempat-tempat menarik khas untuk warga tua harus dilakukan dengan kerap seperti setiap hujung minggu dan sebagainya. Aktiviti seperti ini mampu menjadikan kehidupan warga tua lebih menarik dan tidak menjemukan mereka serta dalam masa yang sama mampu untuk meningkatkan semangat mereka untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan kerana mereka bergaul dengan rakan-rakan seusia. Sebenarnya, usaha melakukan lawatan ini menjadikan kehidupan mereka lebih berharga dan mampu memberikan satu matlamat untuk mereka meneruskan kehidupan.

Pembinaan rumah warga tua harus diperbanyakkan terutama di kawasan bandar kerana sudah ada peningkatan permintaan terhadap ruang buat warga emas ini. Keadaan kehidupan bandar yang penuh cabaran dan tekanan hidup yang tinggi menjadikan warga emas sasaran mudah segelintir anak yang menggunakan alasan terlalu sibuk untuk menghantar ibu bapa mereka ke rumah bantuan kerajaan ini. Kemudahan yang disediakan di rumah orang tua ini juga perlulah lengkap dan bersesuaian dengan keadaan fizikal dan kemampuan kewangan warga tua supaya kehidupan mereka lebih ceria. Sesungguhnya, semakin banyak rumah orang tua didirikan semakin bermaknalah kehidupan warga tua kerana mereka mempunyai tempat untuk berlindung pada masa akan datang.

Namun langkah yang paling efektif untuk menjadikan kehidupan golongan ini bermakna ialah sikap masyarakat terhadap kumpulan umur ini harus berubah menjadi lebih positif. Kita sering menyaksikan banyak pihak terutama golongan muda yang menganggap orang tua sebagai penyibuk, tidak memahami perasaan orang muda, lambat bergerak dan sebagainya. Pandangan yang sebegini menyebabkan sering berlaku perbezaan pendapat antara golongan muda dengan tua yang membawa renggangnya hubungan antara mereka. Jelaslah, masyarakat terutama warga belia harus menerima hakikat bahawa lumrah hidup akan menyaksikan yang tua menjadi muda lalu belajar memahami golongan tua ini.

Kesimpulannya, warga tua bukanlah sampah masyarakat yang harus dibuang setelah penat menabur budi selama ini kepada negara dan golongan muda. Kumpulan masyarakat ini berhak menerima layanan yang terbaik mungkin daripada negara dan masyarakat tanpa sebarang alasan. Semua pihak harus sedar dan menerima kenyataan bahawa tanpa warga tua tiadalah warga muda. Bayangkan jika anda sudah tua dan disisihkan oleh anak.

Fungsi-fungsi Adat Resam

Source: http://88karangan.com/karangan-19/

Negara ini memiliki kaum Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum lain yang lebih kecil populasinya lalu mewarnai kehidupan negara yang unik ini. Adat resam sering digunakan sebagai pengukur betapa tingginya kebudayaan sesebuah bangsa itu terutama di China, Jepun dan India. Pelbagai pihak di negara ini sudah mula berasa bimbang akan hilangnya adat resam yang suatu masa dahulu amat kukuh dalam diri remaja kita. Jadi, ada banyak peranan yang mampu dimainkan oleh adat resam dalam dunia globalisasi ini.

Sudah pasti peranan paling dominan yang mampu dimainkan oleh adat resam ialah adat menonjolkan budaya sesuatu kaum itu. Semua kaum dikenali menerusi amalan adatnya yang tertentu tetapi unik itu seperti orang Melayu dikaitkan dengan baju Melayu, orang Cina dikaitkan dengan warna merah dan orang india dikaitkan dengan makanan mereka yang pedas. Pengamalan adat resam membolehkan setiap kaum itu memiliki satu pengenalan diri yang boleh menjadi kebanggaan pula pada satu-satu masa. Jelaslah, adat resam memberikan identiti kaum supaya kita menyedari kewujudan semua kaum yang ada di negara ini.

Satu unsur yang penting dalam adat resam ialah golongan muda diingatkan supaya sering menghormati golongan muda. Semua kaum memiliki adat sebegini kerana tanpa golongan tua tiadalah golongan muda yang diberi amanah untuk meneruskan tugas di dunia ini pula. Sikap menghormati orang tua menjadikan adat satu perkara yang harus diamalkan dan diteruskan tanpa sebarang bantahan atau alasan kerana tanpa adat kita tiada orang tua dan tiadalah kita semua. Maka, adat resam mengajar seseorang itu erti menghargai golongan tua yang banyak berjasa dalam kehidupan kita semua.

Salah satu sebab adat resam diperkenalkan dan diamalkan oleh manusia berkait rapat dengan usaha untuk memastikan peraturan dipatuhi oleh semua ahlinya. Adat resam yang diamalkan sejak temurun itu sudah banyak mengalami pengalaman yang menjadikan adat resam sebagai satu rekod yang memahami sikap manusia yang suka melakukan sesuatu di luar batasan peraturan yang ditetapkan. Manusia akan berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu yang berada di luar batas-batas adat resam mereka. Oleh itu, adat resam menjadi satu alat yang mampu mengawal manusia supaya melakukan tindakan mengikut lunas-lunas budaya yang betul dan bukannya melanggarinya.

Malah, adat resam menjadikan keseinambungan sesuatu budaya itu mampu dilakukan generasi ke generasi yang lainnya. Sikap mengutamakan adat resam menjadikan semua pihak melihat adat resam sesuatu yang penting umpama bahan sejarah yang harus dipelihara dan dihargai serta dijadikan panduan ketika melakukan sesuatu perkara. Pengamalan adat resam memberikan satu harapan bahawa budaya sesuatu masyarakat itu akan terus wujud dalam dunia ini dan tanpa pengamalannya sudah pasti sesuatu kaum itu akan hilang dari muka bumi ini. Sesungguhnya, adat resam memberi satu sebab supaya budaya kaum diteruskan dengan penuh semangat dan keyakinan bahawa adat mampu mengubah kehidupan masyarakat.

Kesimpulannya, adat resam perlu disanjung dan dilihat sebagai sesuatu yang berharga dalam kehidupan bermasyarakat kini. Sudah acap kali kita melihat remaja melupakan adat resam kerana menganggap adat resam tidak mampu untuk hidup seiring dengan perubahan zaman. Memang ada adat resam yang sudah ketinggalan tetapi adat resam masih terus menjadi satu pegangan yang kukuh dalam diri seseorang itu kerana tanpa adat resam tiadalah manusia. Mungkin kita semua harus melihat diri sendiri dan bertanya “adakah saya masih mengamalkan adat resam kaum saya?”

Kebaikan-kebaikan Gotong Royong

Source: http://88karangan.com/karangan-18/

Konsep gotong-royong merupakan satu konsep yang dianggap unsur terpenting dalam kebudayaan masyarakat kita sejak dahulu. Semua pihak memahami kepentingan amalan ini diamalkan terutama ketika kegawatan ekonomi melanda sesebuah negara itu. Amalan yang sudah begitu lama tertanam dalam naluri masyarakat kita mula dilupakan terutama oleh kalangan remaja kita. Maka, apakah kebaikan-kebaikan yang terjelma menerusi amalan murni ini?

Kebaikan mengamalkan amalan gotong-royong atau bekerjasama ini ialah amalan ini mewujudkan semangat positif antara ahli masyarakat terutama untuk memastikan sesuatu tugasan itu mampu dilaksanakan dengan berkesan. Amalan ini memberikan satu semangat kepada masyarakat bahawa tugasan itu walau berat pun akan mampu diselesaikan dengan begitu baik sekali kerana semua pihak menghulurkan bantuan. Keadaan ini menjadikan semua perkara yang dialami oleh masyarakat dapat diatasi dalam masa yang singkat dan mudah sahaja. Jelaslah, amalan ini memberikan satu suntikan baru tentang konsep bekerjasama antara masyarakat terutama di kawasan urbanisasi.

Dalam kehidupan sekarang yang semuanya berkait dengan kewangan sudah pasti amalan gotong-royong ini mampu menjimatkan kos dan tenaga ketika menjalankan sesuatu majlis itu. Bayangkan majlis perkahwinan yang diadakan oleh satu kawasan kejiranan boleh menjimatkan kos kepada pasangan pengantin kerana semua pihak memberikan bantuan yang boleh mengurangkan belanja mereka. Pada masa yang sama juga bantuan tenaga manusia turut dihulurkan yang menjadikan suasana perkahwinan lebih meriah dan diingati selalu. Maka, konsep kerjasama mampu menjadikan kos sesuatu majlis itu lebih rendah daripada kebiasaannya.

Jika amalan ini diamalkan dalam masyarakat sudah pasti tahap perpaduan akan meningkat dengan begitu ketara kerana semua ahli dalam sesebuah masyarakat itu saling kenal mengenali antara mereka. Kekerapan mereka berjumpa ketika melakukan sesuatu aktiviti menyebabkan mereka saling memahami akan kerenah masing-masing yang mengukuhkan perpaduan antara mereka dalam jangka masa panjang. Jelaslah, amalan yang sudah lama diamalkan ini berupaya untuk menghidupkan semua semangat perpaduan antara kaum di negara ini yang mula dilupakan oleh penduduknya.

Kalau tahap perpaduan begitu tinggi sudah pasti keamanan negara akan berkekalan kerana semua ahlinya memahami satu sama lain dengan mendalam. Keamanan negara yang stabil ini amat penting untuk memudahkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan tanpa adanya sebarang gangguan yang menguggat kelancaran projek tersebut. Semua pihak akan menerima kesan positif daripada keamanan yang wujud ini terutama perkembangan bidang ekonomi yang pastinya amat memerlukan keamanan yang sejati. Sesungguhnya, amalan gotong-royong menjadikan negara ini aman dan membolehkan semua pihak menikmati kemakmuran ekonominya.

Kesimpulannya, amalan yang murni ini harus digalakkan terutama dalam kalangan remaja yang semakin hari semakin melupakannya. Sikap mengutamakan diri dan kebendaan telah mengaburi remaja akan pentingnya amalan ini dihidupkan semula dengan segera. Konsep individualistik yang begitu kuat diamalkan di negara barat dan kini melimpah ke negara kita harus dikaji dengan teliti supaya konsep ini tidak mengikis amalan bergotong-royong ini. Hidup dalam masyarakat lebih bermakna daripada hidup bersendirian.

Kebaikan-kebaikan Para Pelajar Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Source: http://88karangan.com/karangan-17/

Aktiviti di luar bilik darjah atau kokurikulum sering menjadi topik hangat perbualan masyarakat kita terutama menjelang musim peperiksaan. Ada yang menganggap pembabitan pelajar dalam aktiviti sebegini mampu menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan terutama peperiksaan umum negara ini. Hairannya, pelajar yang tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti juga tidak memperoleh keputusan yang cemerlang jika mahu diambil kira masa mereka yang lebih banyak untuk menelaah buku pelajaran. Jadi, penglibatan dalam kokurikulum memang ada banyak kebaikannya jika dilakukan dengan penuh cermat dan sistematik.

Kebaikan pertama melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum ialah seseorang pelajar itu dapat mengeluarkan peluh terutama aktiviti yang melibatkan acara sukan. Biasanya aktiviti ini memerlukan stamina dan tenaga yang banyak lalu menjadikan tubuh pelajar lebih tegap dan mampu untu mengalami sebarang tindakan fizikal yang ketara. Badan yang sihat juga menjadikan diri pelajar itu lebih menarik dan boleh menerima pelajaran dengan lebih baik kerana fikiran mereka sihat berbanding dengan pelajar yang lain. Maka, pelajar yang melibatkan diri dengan aktiviti kokurikulum memang lebih sihat berbanding pelajar yang lainnya.

Dalam sebarang aktiviti kokurikulum, seseorang pelajar itu harus melakukan sesuatu aktiviti sama ada secara berkumpulan atau bersendirian. Kejayaan seseorang pelajar melaksanakan aktiviti ini dengan baik akan memberi keyakinan dalam dirinya bahawa mereka memang berguna dan boleh melakukan sesuatu yang berfaedah dalam hidup. Sikap yakin ini sudah pasti akan menebal setiap kali pelajar berjaya melakukan pelbagai aktiviti dalam penglibatan kokurikulumnya itu lalu menjadikan diri pelajar lebih berketerampilan lagi. Jelaslah, pelajar yang terlibat dalam kokurikulum mempunyai rasa keyakinan diri yang lebih ketara berbanding pelajar yang tidak melibatkan diri langsung.

Dalam kehidupan manusia, amalan bertemu untuk berinteraksi dengan orang lain sudah menjadi lumrah dan kokurikulum mampu mendidik pelajar cara untuk berinteraksi dengan lebih berkesan lagi. Semua kokurikulum mempunyai program yang pastinya akan memerlukan pelajar berinteraksi dengan pelajar lain, guru dan juga masyarakat setempat untuk melaksanakan sesuatu program tersebut. Interaksi demi interaksi ini menjadikan diri pelajar lebih peka dan tahu cara untuk menyesuaikan diri mereka dalam pergaulan masyarakat apabila mereka dewasa kelak tanpa perlu berasa malu dan sebagainya. Maka, pelajar akan lebih mahir dalam interaksi mereka jika melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum.

Kokurikulum sudah pasti memberikan pelbagai ilmu pengetahuan kepada pelajar yang menyertainya baik yang berupaya sukan, persatuan dan sebagainya. Pengetahuan mengurus sesuatu, merancang, dan mengalami masalah ketika melakukan aktiviti sudah pasti memberikan pendidikan yang berguna kepada pelajar pada masa hadapan kerana perkara ini tidak mampu untuk mereka peroleh menerusi pendidikan biasa. Semua maklumat yang mereka pelajari ini menjadikan diri mereka lebih mampu untuk mengharungi kehidupan alam dewasa yang penuh dengan dugaan dan cabaran itu. Sebenarnya, kokurikulum memberikan banyak ilmu pengetahuan kepada pelajar yang menyertainya.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum harus disertai oleh semua pelajar kerana aktiviti ini memiliki banyak impak positif. Golongan ibu bapa perlulah melihat kokurikulum ini dalam sudut yang lebih besar dan positif serta tidak menganggap aktiviti ini membuang masa sahaja. Pelajar pula perlu menggunakan peluang ini untuk mempelajari sebanyak mungkin pengetahuan yang diberikan menerusi penglibatan mereka ini tanpa ada keraguan. Kalau ini berjaya dilaksanakan, negara kita akan memiliki satu generasi muda yang berdaya saing tinggi.