Masalah-masalah Yang Melanda Sektor Perikanan

Source: http://88karangan.com/karangan-12/

Perikanan telah menjadi sumber ekonomi terpenting buat negara sejak dahulu kala lagi. Malah tidak keterlaluan jika kita menganggap sektor ini sudah wujud sejak zaman kegemilangan Melaka atau mungkin lebih awal lagi berbanding dengan sektor pekerjaan lainnya. Yang sedihnya sektor perikanan di negara ini terus dilanda pelbagai masalah yang menyebabkan banyak pihak menyuarakan rasa bimbang. Jadi, apakah masalah-masalah yang melanda sektor perikanan kita ini?

Kemelut yang paling serius melanda sektor perikanan ialah nelayan kita masih berada di bawah paras kemiskinan yang ditentukan oleh pihak kerajaan. Keadaan ini berlaku kerana pelbagai faktor yang menyumbang kepada pendapatan nelayan yang tidak tetap dan rendah sepanjang tahun berbanding dengan sektor pekerjaan yang lain. Kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan nelayan telah menyebabkan kehidupan mereka begitu daif dan menyedihkan memandangkan negara sudah merdeka lebih daripada 50 tahun. Jadi, masalah yang paling besar ialah kemiskinan yang melanda golongan nelayan kita masih terus berlaku tanpa sebarang usaha untuk mengatasinya.

Malah kedua ialah sektor perikanan di negara ini masih berada di takuk lama yakni mereka masih menangkap ikan secara kecil-kecil atau di kawasan tepi pantai sahaja. Kalau kita bandingkan nelayan-nelayan jiran kita terutama Thailand yang sudah berani untuk pergi menangkap ikan di laut dalam memang kita berasa malu. Akibat hanya menangkap ikan di kawasan berhampiran pantailah pendapatan dan nasib kehidupan nelayan kita tidak berubah dengan pantas. Oleh itu, konsep perikanan di negara ini harus berubah jika masalah ini mahu diselesaikan dengan efektif.

Selain itu, masalah yang menganggu nelayan kita ialah kerakusan sikap peraih ikan atau lebih dikenali sebagai orang tengah. Golongan peraih ini mengambil kesempatan dengan membeli hasil tangkapan nelayan dengan harga yang murah tetapi menjualnya dengan kadar yang jauh lebih tinggi untuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Nelayan menyabung nyawa untuk menangkap ikan tetapi yang menerima hasil yang lebih besar ialah peraih yang hanya duduk di tepi pantai menanti kepulangan nelayan dengan hasil mereka itu. Lantaran itu, kewujuan peraih ini perlulah dihapuskan supaya nelayan kita memperoleh hasil yang lumayan selaras dengan usaha gigih mereka menggadaikan nyawa di lautan.

Sektor ini juga mengalami masalah kekurangan tenaga buruh terutama golongan muda yang sudah tidak berminat untuk meneruskan kerja ini. Kebanyakan nelayan yang sedia ada merupakan golongan yang sudah tua kerana mereka tiada pilihan untuk bekerja di tempat lain. Ganjaran gaji yang rendah dan kerja yang susah menyebabkan golongan muda tidak berminat untuk bekerja di sektor ini yang pada masa yang sama tidak dianggap mempunyai prospek masa depan yang baik. Maka, sektor perikanan kita memang tidak memiliki imej yang baik terutama pada kalangan golongan muda yang lebih mementingkan glamor dan kesenangan melakukan kerja sahaja.

Masalah terakhir yang melanda sektor ini ialah kekurangan bekalan ikan terutama pada masa hadapan. Tangkapan ikan saban tahun semakin berkurangan menyebabkan timbulnya persoalan tentang bekalan ikan di perairan negara telah berkurangan dengan teruknya. Kekurangan bekalan ikan ini boleh dikaitkan dengan kegagalan kerajaan untuk memperkenalkan satu konsep baru untuk menangkap ikan yang bukan sahaja mampu menjamin pendapatan yang baik buat nelayan tetapi mampu memberi ruang kepada populasi ikan untuk membiak secara positif. Jelaslah, sektor perikanan negara akan ketandusan bekalan dalam sedikit masa lagi.

Kesimpulannya, masalah yang melanda sektor perikanan ini bukanlah baru tetapi sudah wujud sejak dahulu tetapi sikap kerajaan yang tidak memandang serius kerana lebih mengutamakan sektor perindustrian negara. Jika masalah ini dibiarkan begitu sahaja kemungkinan nelayan kita akan terus berada di bawah paras kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan. Keluarga mereka juga tidak akan mampu untuk keluar daripada kitaran kehidupan ganas ini kerana tiada peluang untuk meningkatkan kemahiran diri. Semua pihak harus melihat masa depan sektor ini dengan sedikit pandangan positif.

Leave a comment