Sebab-sebab Minat Membaca Di Negara Ini Berkurang

Source: http://88karangan.com/karangan-15/

Amalan membaca sering dikaitkan dengan kadar kemodenan sesebuah negara itu kerana semakin tinggi minat membacanya semakin modenlah negara itu seperti Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Di negara ini amalan membaca masih berada di tahap yang begitu mengecewakan terutama di kawasan luar bandar. Kalau ada pun minat membaca, kebanyakan bahan bacaan itu meliputi hal-hal yang tidak ada kaitan dengan perubahan sikap manusia. Oleh itu, ada beberapa sebab mengapa rakyat negara ini tidak mempunyai sikap untuk membaca yang tinggi.

Salah satu sebabnya berkaitan sikap masyarakat terhadap peri pentingnya amalan membaca. Masyarakat di negara ini menganggap membaca tidak mampu meningkatkan imej mereka kerana aspek membaca lebih berunsur dalaman yakni tidak boleh dilihat kesannya pada mata kasar berbanding jika mereka memiliki kenderaan yang bergaya dan rumah yang besar daripada keperluan mereka. Keadaan ini berkaitan dengan sikap masyarakat kita yang suka menilai kejayaan seseorang itu berdasarkan pemilikan sesuatu kebendaan dan bukannya aspek dalaman diri manusia. Maka, sikap yang tidak memandang tinggi aspek pembacaan itu menyebabkan sikap membaca di negara ini begitu kurang.

Bukan sahaja sikap membaca dianggap tidak penting tetapi kadar harga bahan bacaan terutama bahan bacaan ilmiah yang tinggi telah memadamkan minat membaca dalam diri masyarakat kita. Kalau kita kaji harga buku di negara ini jauh lebih mahal daripada negara jiran kerana jumlah pembaca di negara ini agak rendah. Penjual buku tidak mampu untuk menjual dengan harga yang lebih rendah kerana kos untuk menjual satu buku agak tinggi melainkan jumlah permintaan lebih tinggi wujud dahulu di negara ini. Lantaran itu, sudah pasti tidak ramai ahli masyarakat kita yang sanggup menghabiskan wang untuk membeli bahan bacaan yang mahal ini.

Malah, sikap kerajaan dan pihak swasta yang tidak bersungguh-sungguh untuk menyebarkan sikap membaca ini turut menjadi penyebab rendahnya amalan membaca dalam masyarakat kita. Kalau kita kaji kekurangan kempen daripada kerajaan dan tajaan pihak swasta untuk melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada peningkatan amalan membaca memang begitu ketara di negara ini. Keengganan pihak kerajaan dan swasta ini telah menyebabkan masyarakat umum turut berpendapat bahawa amalan membaca bukanlah sesuatu yang penting untuk diamalkan dalam diri mereka. Jelaslah, pihak kerajaan dan swasta harus memulakan langkah awal dengan cuba mencetuskan pelbagai program yang mampu memupuk sikap membaca dalam jiwa masyarakat negara ini.

Kurangnya amalan membaca di negara ini turut dikaitkan dengan ketiadaan penerbit buku yang banyak di Malaysia. Jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, jumlah penerbit buku begitu banyak dan mereka mampu menerbitkan banyak judul dalam sati-satu tahun itu dengan mudah. Begitu juga dengan industri terjemahan mereka yang begitu pesat dengan membuat terjemahan bahan-bahan klasik luar negara untuk tatapan pembaca mereka. Oleh yang demikian, pembaca di negara ini tidak mempunyai banyak pilihan untuk membaca yang dihadkan oleh ketidakupayaan penerbit negara untuk menerbitkan banyak judul buku.

Kesimpulannya, masalah kurangnya minat membaca ini harus ditangani oleh kerajaan dengan segera demi masa depan negara juga. Kerajaan harus melihat dan membuat cadangan untuk memajukan lagi industri penerbitan buku di negara ini dengan memberi banyak insentif yang baik. Dalam masa yang sama masyarakat kita harus berubah paradigmanya tentang amalan membaca kerana tanpa membaca seseorang itu tidak akan mampu mengetahui dunianya. Mungkin kita harus melihat sikap masyarakat lain yang mengutamakan amalan membaca ini dengan rasa kagum.

Leave a comment